Minuman Identiti Rakyat Malaysia-TEH TARIK
Rakyat Malaysia memang suka minum teh tarik. Tidak kira kedai melayu, kopitiam atau kedai mamak, teh tarik antara menu yang paling banyak diminta. Teh tarik adalah minuman khas Malaysia yang biasanya dijual oleh para mamak di Malaysia dan Singapura. Minuman ini berupa teh yang diletakkan susu pekat manis yang dituangkan dari satu gelas ke gelas lainnya (ditarik). Dalam proses penarikan ini, kandungan teh tarik menjadi semakin tercampur rata dan aromanya keluar. Selain itu proses penarikan juga membantu mendinginkan suhu minuman dan memberikan lapisan busa lembut di bahagian atasnya yang terbentuk kerana kandungan gula di dalam air teh.
Teh tarik dan teh ais merupakan minuman yang banyak dijual di rumah kedai mamak, dan biasanya diminum bersama hidangan seperti nasi lemak, roti canai, roti telur atau roti tempayan. Serbuk teh yang dijual secara kilo sering digunakan untuk membuat teh tarik. Walaupun teh tarik pernah difitnah kononnya dicampur sabun serbuk supaya buih-buih kelihatan mewah tetapi ternyata fitnah tersebut tidak menggugat kredibiliti teh tarik.
Ternyata kepelbagaian bukan masalah bagi kita. Cuma akhir-akhir ini kepelbagaian ini kurang diraikan. Banyak isu yang melanda negara kita semenjak tahun kemerdekaan. Namun isu ini tenggelam dan timbul. Isu kemelesetan ekonomi dan kestabilan politik ada pasang dan surut. Namun isu perkauman sentiasa menjadi bahan bualan sambil menghirup teh tarik. Sesetengah ahli politik dan konon-konon ahli politik mengulas isu perkauman secara tidak sihat dan adil. Seharusnya ahli politik mencontohi Rasulullah SAW yang kehadirannya di Bumi Madinah al-Munawwarah untuk menyatukan bukan menghancurkan. Kalau ikut logik, Rasulullah SAW datang sebagai orang arab beragama Islam. Sudah pasti kecenderungan baginda lebih kepada mereka yang beragama Islam. Tetapi payung keadilan Rasulullah SAW memayungi semua penduduk Madinah sama ada Islam ataupun bukan. Itulah sifat agama yang sebenar.
Sangat kesian ahli agama yang berdakwah dan bertungkus lumus untuk membentuk Malaysia yang lebih sejahtera. Dalam kepelbagaian pandangan mereka berusaha mengetengahkan pandangan yang bersifat harmoni atas usaha menjaga kepelbagaian masyarakat di Malaysia. Kredit kepada Sohibus Samahah Datuk Arif Perkasa Professor Madya Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin kerana sentiasa terkehadapan dalam memberi pandangan damai dan harmoni. Pandangan seperti ini amat membantu memperkukuhkan semangat kekitaan di Malaysia. Pandangan yang mengharbikan segolongan manusia atas dasar politik perlu dinilai semula.
Orang politik dan agamawan juga suka minum teh tarik. Ambillah pengajaran dari teh tarik itu. Kepelbagaian dan percampuran menjadikan teh tarik itu semakin enak. Minumlah dimana pun teh tarik tetap enak bahkan menjadi identiti kepada Malaysia.
Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Buat Malaysia yang ke-59. Sekiranya dibandingkan dengan umur manusia sudah pasti 59 tahun merupakan satu usia yang sudah amat dewasa dan matang. Sudah mempunyai identiti dan sudah mempunyai satu entiti yang boleh dibanggakan. Kerana angka 59 bukan sahaja menunjukkan kedewasaan tetapi memaparkan kekayaan dalam pengalaman dan pengamalan nilai kehidupan. Barangkali sudah menjadi tokoh atau orang yang dihormati. Itu sekiranya manusia.
Namun bagi sebuah negara, sepatutnya Malaysia sudah berada di satu mercu kejayaan yang boleh dibanggakan. Kestabilan ekonomi dan politik serta sistem sosial yang warna warni yang mengiktiraf kepelbagaian kaum disamping tidak menghapuskan identiti masyarakat minoriti. Kewujudan Malaysia bukan pada tahun 1957 tetapi lebih awal dari itu bermula dengan Kerajaan Kedah Tua hingga Kegemilangan Tamadun Melaka. Kedua-kedua kerajaan melayu tua ini ditulis dalam pelbagai versi sejarah namun terdapat beberapa persamaan. Antaranya ialah wujudnya masyarakat yang majmuk dan kita mewarisi masyarakat itu pada hari ini.






